Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (ICATS) telah berjaya menambat kira-kira 200 orang pelajar baru bagi sesi Jun 2011 yang berlangsung pada hari Ahad yang lepas, 12 Jun 2011, ke pelbagai program diperingkat sijil dan diploma yang ditawarkan oleh kolej tersebut. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Mohd Trudin Yasin, sesi pendaftaran pelajar yang berlangsung menyaksikan penerimaan positif terhadap program program di Kolej ICATS, khususnya program perladangan, yang merekodkan jumlah yang sangat memuaskan. Menurutnya lagi, antara sebab program perladangan ini laris adalah kerana pertumbuhan pesat industri kelapa sawit di negara kita yang secara langsung memerlukan tenaga kerja yang relevan dan khusus, demi pengendalian operasi yang berkesan.
Sebagai sebuah kolej ternikal yang terkenal di negeri Sarawak, ICATS juga menawarkan kursus-kursus kejuruteraan Mekanikal, Sivil, Elektrik, Mekatronik, Geomatik, Ukur Bahan dan Teknologi Maklumat. Kursus-kursus teknikal tersebut adalah berbentuk sijil dan diploma. Sehubungan itu, kursus-kursus bukan teknikal seperti Diploma Kejururawatan, Diploma Pelancongan dan termasuklah Diploma Pengurusan Ladang, juga ditawarkan.
Ditubuhkan 6 tahun lalu, ICATS sebagai kolej bertaraf antarabangsa, mempunyai seramai 1200 orang pelajar tempatan dan juga luar negara. Sebagai sebuah kolej swasta, ICATS merupakan syarikat kepunyaan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), yang ditubuhkan untuk membantu melahirkan tenaga kerja di bidang teknikal dan akademik. Di samping itu, sebagai agensi yang didokong kuat oleh Kerajaan negeri Sarawak, pelajar-pelajar ICATS boleh mendapatkan bantuan bantuan kewangan dari Yayasan Sarawak, MARA dan juga PTPTN. Dr Trudin menambah, hubungan profesional di antara pihak kolej dan badan-badan industri memberi peluang cerah kepada graduan-graduan ICATS, menyentuh ke aspek penempatan pekerjaan. Beliau berkata lagi, graduan ICATS adalah begitu bermutu hasil dari penerapan kedua-dua aspek teori dan praktikal dalam proses pembelajaran.
Bagi pelajar-pelajar yang masih ingin mengikuti kursus di ICATS, bahagian pendaftaran pihak kolej telah membuat kelonggaran di mana pendaftaran masih lagi diteruskan sehingga 22 Jun 2011. Mereka yang berminat dialu-alukan berkunjung ke kolej ICATS yang bertempat di Jalan Canna, Off Jalan Wan Alwi, Tabuan Jaya 93350 Kuching atau hubungi Cik Melissa, atau Cik Siti atau Bahagian Pemasaran di talian 082-364198. Selain dari itu mereka boleh juga melayari laman web ICATS di www.icats.edu.my dan dipelawa untuk membuat permohonan secara online.
Kepada mereka yang berada di bandar Sri Aman, pihak ICATS akan mengadakan sesi pendaftaran dan kaunseling di Dewan Suarah Sri Aman pada 18 Jun 2011 dari jam 8.30 pagi ke 4.00 petang. Pihak ICATS akan membuat pendaftaran terbuka di bandar tersebut dan mempelawa mereka yang berminat untuk datang beramai-ramai dan mengetahui produk-produk kolej dengan lebih dekat. Untuk keterangan lanjut berkenaan sesi pendaftaran di Sri Aman, sila berhubung dengan Pengurus Pengambilan Pelajar ICATS, Encik Jery’in Fauzi di talian 011-1202 8995 atau 0178015067.






